Calon PRU-13 diketahui seawal jam 11 pagi

Pengumuman calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dijangka dibuat seawal jam 11 pagi esok.

Ia berikutan pemansuhan proses bantahan dan tempoh penarikan balik pencalonan yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjimatkan masa proses penamaan calon.
Penambahbaikan itu juga selaras dengan syor dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, tahun lalu.

Ini bermakna selepas proses penyerahan borang pencalonan tamat jam 10 pagi, SPR akan menyemak status berkenaan bagi menentukan kelayakan calon bertanding pada PRU-13 membabitkan rekod mahkamah, polis dan insolvensi.

Ia bagi memastikan calon terbabit tidak mempunyai rekod mahkamah, jenayah atau muflis yang tidak melayakkannya menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberi jaminan maklumat lengkap pencalonan bagi keseluruhan 222 Parlimen dan 505 DUN akan diumumkan SPR selewat-lewatnya 12 tengah hari.

Pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sivamurugan, menyifatkan pemansuhan tempoh bantahan dan penarikan balik pencalonan itu menepati kehendak politik demokrasi masa kini.
“Pemansuhan bukan bermakna SPR tak melakukan saringan,” katanya menambah pengumuman calon lebih awal seperti dilakukan Barisan Nasional (BN), membolehkan saringan dilakukan lebih awal.

Print Friendly

This entry was posted in PRU13 - Terkini. Bookmark the permalink.