Divendran dibunuh dengan objek tumpul dan berat

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Konstabel polis yang mayatnya ditemui di bawah jambatan bulatan Batu Caves malam tadi telah dipukul di kepala dengan menggunakan objek tumpul dan berat, kata polis.

Hasil bedah siasat terhadap mayat V Divendran, 25, yang diperoleh polis tengah hari ini mendapati tiada kecederaan lain ditemui pada badan mangsa.

Divendran dipercayai telah mati lebih 48 jam sebelum mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di kepala, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan di sini hari ini.

Beliau berkata polis bagaimanapun masih menyiasat sama ada anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di bawah jambatan itu atau sebaliknya.

Hanya barangan peribadi seperti kad pengenalan milik Divendran yang hilang, manakala gelang emas yang dipakai dan telefon bimbit tidak hilang, katanya.

Divendran yang tinggal bersama keluarganya di Selayang Heights, di sini dilapor hilang sejak tiga hari lepas sebelum mayatnya ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 7.30 malam tadi.

Bapa saudara Divendran yang hanya ingin dikenali sebagai Jaya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini, berkata beliau mengenalpasti mayat anak saudaranya itu berdasarkan kasut yang dipakai.

Jaya yang juga seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, berkata beliau dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas betugas.

“Selepas menghubungi bilik gerakan polis dan semasa menunggu siasatan Forensik di tempat kejadian, saya tergerak hati untuk melihat semula mayat itu.

“Pada mulanya saya ingat itu mayat seorang yang sudah berumur 30-an kerana saiz badannya yang sudah membengkak tapi selepas diberitahu rakan bahawa kasut yang dipakai mangsa adalah kasut orang muda saya terus tergerak hati untuk melihat mayat itu sebelum yakin itu adalah anak saudara saya,” katanya.

Bapa Divendran, M. Veeramogan, 55, berkata anaknya yang telah emapt tahun berkhidmat dalam pasukan polis dijangka mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya yang berasal dari Ampang Jun ini.

“Kami sepatutnya ke rumah bakal tunang Divendran hari ini untuk merisik tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya sambil menegaskan anaknya seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh.

Print Friendly

This entry was posted in News. Bookmark the permalink.