Enam wakil India dalam pentadbiran Najib

Pentadbiran kerajaan ‘berimbang’ yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menampilkan enam wakil India; dua menteri dan empat timbalan menteri.

Ia adalah pertama kali Najib memberi keutamaan dan kepercayaan kepada dua wakil yang bukannya dari parti MIC, yang membawa perubahan besar terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat India.
Mereka ialah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (HINDRAF), p Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang, Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, mengetuai barisan wakil MIC dalam Kabinet, ialah Presiden parti itu, Datuk Seri G Palanivel yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera, P Kamalanathan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran II.

Pada pilihan raya umum ke-13, hanya empat ahli politik MIC memenangi kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Mereka ialah Palanivel (Cameron Highlands), Dr Subramaniam (Segamat), Naib Presiden Datuk M Saravanan (Tapah) dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera, P Kamalanathan (Hulu Selangor).
Pada tahun 2008, Najib melantik seorang menteri dan dua timbalan menteri untuk Kabinetnya, dan tiga tahun kemudian, Najib melantik Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menerajui pembangunan kaum India.

Pada 18 April, HINDRAF dan BN menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengandungi enam perkara utama untuk membawa masuk golongan miskin berketurunan India ke dalam arus utama pembangunan negara. – BERNAMA

Print Friendly

This entry was posted in Barisan Nasional, PRU13, PRU13 - MIC, PRU13 - Terkini. Bookmark the permalink.