MIC bagi RM10,000

pix_gal0

Shah Alam: MIC menawarkan insentif RM10,000 kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat sehingga seorang remaja kelainan upaya, A Hemavathi (gambar) ditemui dengan selamat.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T Mohan, berkata beliau akan bekerjasama dengan parti komponen lain Barisan Nasional (BN) untuk mengesan remaja 14 tahun itu termasuk mengedarkan risalah serta memasang kain rentang di beberapa plaza tol di Selangor.
“Risalah mengenai kehilangannya akan diedarkan di plaza tol Batu Tiga, Sungai Rasah, plaza tol di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan plaza tol Jalan Duta,” katanya ketika ditemui di rumah ibu remaja terbabit di sini, semalam.

Remaja itu yang sudah tidak bersekolah disedari hilang dari rumahnya di Seksyen 24, di sini, pada 20 Februari lalu oleh ibu, M Santhi, 34, kira-kira jam 12.30 tengah hari. Sementara itu, Santhi, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, hanya menyedari kehilangan anak perempuannya itu ketika pulang ke rumah pada Rabu minggu lalu.

“Saya cuba hubungi telefon bimbitnya, tetapi peranti itu ditinggalkan di rak kasut, pintu rumah dan pagar ditinggalkan terbuka manakala kipas dan televisyen terpasang. “Saya dan jiran sudah puas mencarinya di merata-rata tempat tetapi hingga kini anak saya belum ditemui,” katanya kepada BH. Ibu tunggal itu berkata, ketika kejadian, anak perempuannya tinggal di rumah seorang diri selepas abangnya, A Kugilan, 16 keluar bekerja pada sebelah pagi.

“Saya berharap orang ramai yang menemui Hemavathi segera menghubungi saya. Sebelum ini Hema (Hemavathi) tidak pernah keluar dengan orang yang tidak dikenali dan kini saya bimbang keselamatannya,” katanya. Seorang jirannya yang enggan dikenali, berkata pada kebiasaannya selepas pulang dari bekerja kira-kira jam 12 tengah hari, dia akan membenarkan Hemavathi bermain dengan anak lelakinya yang berusia empat tahun sementara menunggu ibunya pulang.

Print Friendly

This entry was posted in Mahasiswa, MIC. Bookmark the permalink.