Pengundi Cina sokong saya : Timbalan Presiden MIC

s-subramaniam1-oct3

Penyandang kerusi Parlimen Segamat Datuk Seri Dr S. Subramaniam yakin usaha beliau mendekati pengundi Cina di situ sejak empat tahun lepas mampu meningkatkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali ini.

Timbalan Presiden MIC itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kaum Cina sudah kembali menyokong BN terutama selepas pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Begitu juga dengan sokongan pengundi India, mereka sudah kembali menyokong BN, lebih baik daripada pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008 lalu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Jementah, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, tujuh kediaman dan sebuah kedai kehilangan bumbung akibat diterbangkan angin kencang.

Kawasan Parlimen Segamat mempunyai lebih 47,000 pengundi berdaftar dengan 47 peratus pengundi Cina, 43 peratus Melayu dan baki 10 peratus kaum India. Dr Subramaniam mewakili kawasan itu sejak pilihan raya umum 2004.

Pada pilihan raya umum kali ini, pembangkang meletakkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai calon mereka.

Mengulas pencalonan Chua yang pernah bersama kerajaan BN, Dr Subramaniam berkata, beliau yakin pengundi bijak menilai dan BN tidak akan menghadapi masalah besar mempertahankan kerusi parlimen itu.

Print Friendly

This entry was posted in Barisan Nasional, Kaum India, PRU13, PRU13 - MIC, PRU13 - Terkini. Bookmark the permalink.